KEADAAN motosikal mangsa. (Gambar kecil) Akmal Hakim. FOTO Ihsan PDRM.
KEADAAN motosikal mangsa. (Gambar kecil) Akmal Hakim. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI maut selepas digilis apabila terjatuh dari motosikal ditungganginya di Kilometer (KM) 59.7 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Pendang, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10 malam itu, mangsa, Akmal Hakim Azizan, 24, berasal dari Kampung Pida 5 Lama Sanglang dikatakan melanggar belakang sebuah van Toyota Hiace yang berhenti di lorong kecemasan sebelum mangsa terjatuh.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, mangsa yang tidak sempat bangun digilis kenderaan lain menyebabkannya maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, soal siasat terhadap pemandu van berusia 55 tahun dari Alor Setar itu mendapati, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Alor Setar.

Katanya, pemandu itu memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan selepas mendapati suhu kenderaannya tiba-tiba panas.

“Namun dia tiba-tiba terdengar dentuman dari bahagian belakang kenderaannya itu sebelum mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR seorang diri melanggar belakang van berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang terjatuh di lorong memotong digilis kenderaan lain menyebabkan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan akibat kemalangan itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu van terbabit tidak mengalami kecederaan dan sudah membuat laporan di balai polis untuk memaklumkan kejadian kemalangan itu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu boleh tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 8:33 AM
Digital NSTP Subscribe