X
DR DZULKEFLY.
DR DZULKEFLY.
Wartawan NSTP

PARTI Amanah Negara (AMANAH) masih berpegang kepada pemuafakatan yang dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan, berkata adalah wajar untuk menantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk sebarang keputusan mengenai desas-desus pakatan baharu negara.

Beliau turut difahamkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Al-Sultan Abdullah hari ini namun tidak memperincikan tentang pertemuan itu.

“Kita masih kerajaan dan apapun (sebarang keputusan) kita wajar nantikan titah dan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita masih lagi menjalankan tugas-tugas, tidak ada apa perubahan.

“Yang pentingnya kita berpegang dan bersandarkan kepada keputusan yang dibuat bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada media selepas melancarkan Seminar dan Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Peringkat Kebangsaan Untuk Anggota Kesihatan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 1:21 PM
Kabinet Malaysia 2020