MINUMAN keras seludup yang dirampas JKDM di Bintangor. FOTO Norsyazwani Nasri
MINUMAN keras seludup yang dirampas JKDM di Bintangor. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bahagian Penguatkuasaan Sarikei komited membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras di bahagian tengah Sarawak.

Dalam dua serbuan baru-baru ini, JKDM merampas minuman keras dan rokok seludup dianggarkan bernilai RM67,086.83 dengan anggaran duti dan cukai berjumlah RM398,874.57.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam operasi Sabtu lalu, pihaknya merampas sejumlah rokok putih pelbagai jenama dipercayai tidak berkastam di sebuah jeti di Sarikei.

“Rokok itu dipercayai untuk diedarkan di sekitar kawasan berdekatan Sarikei dengan menggunakan bot.

“Semasa membuat pemeriksaan, kami menjumpai bungkusan hitam berbentuk kotak diletakkan di jeti yang gelap bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selepas menghampiri jeti terbabit dan diperiksa, bungkusan itu mengandungi rokok yang dipercayai untuk edaran di kawasan sekitar.

ROKOK seludup yang dirampas. FOTO Norsyazwani Nasri
ROKOK seludup yang dirampas. FOTO Norsyazwani Nasri

“Dalam satu kes berasingan baru-baru ini, kami menyita sejumlah minuman keras dan rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus Kastam di kediaman dijadikan stor di Bintangor untuk menyimpan dan mengedar minuman keras dan rokok di sekitar daerah Meradong.

“Semasa serbuan dilakukan seorang lelaki tempatan ditangkap dan dibawa ke pejabat JDKM Sarikei bersama barangan disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, semua pihak termasuk peniaga diminta untuk peka dan mematuhi undang-undang supaya tidak menanggung kerugian dan kesulitan jika gagal mematuhi undang-undang dan diberkas oleh pihak berkuasa.

Katanya, semua pembeli rokok dan minuman keras dinasihatkan supaya mendapatkan bekalan yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 5:37 PM