MENGIKUT Roswati tindak balas terhadap sengatan obor-obor api itu bergantung kepada individu.
MENGIKUT Roswati tindak balas terhadap sengatan obor-obor api itu bergantung kepada individu.
Ahmad Rabiul Zulkifli


ORANG awam yang terkena sengatan obor-obor jenis Portuguese man o’ war hanya perlu mencuci tempat sengatan itu dengan air suam bersuhu 40 darjah celsius.

Pensyarah Program Biologi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Roswati Md Amin berkata, tindak balas terhadap sengatan obor-obor api itu bergantung kepada individu.

“Kebiasaannya sengatan obor-obor itu akan menyebabkan rasa kebas, gatal selain boleh membuatkan mangsa mengalami sakit perut, muntah dan pening.

“Berlainan dengan mangsa yang mempunyai alahan atau menghidap penyakit ekzema yang akan mengalami kesan yang lebih teruk dan perlu segera mendapat rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Roswati berkata, penggunaan rawatan awal yang tular di media sosial seperti penggunaan air kecing, cuka dan sebagainya itu boleh dipraktikkan namun sehingga kini tiada kajian sainstifik yang mengesahkan ia sesuai dan mujarab.

“Bagaimanapun saranan saya, orang awam yang terkena sengatan obor-obor itu boleh segera membasuhnya dengan air laut tanpa mengaru di tempat sengatan.

“Cuci bahagian itu dengan air suam yang bersuhu 40 darjah Celsius dan dalam tempoh 10 minit rasa kebas dan gatal pada sengatan itu akan hilang dan sekiranya ia tidak berkesan mangsa perlu segera ke klinik atau hospital.

Menurutnya, kawasan terkena segatan itu biasanya terdapat sel beracun daripada bahagian ekor obor-obor itu dan air suam akan bertindak mematikan sel racun di kawasan sengatan berkenaan.

Tambahnya, fenomena obor-obor api terdampar di pantai pada awal tahun berlaku sejak 2015 namun pada tahun ini ia paling kerap dan banyak terdampar di pantai di negeri ini.

“Mengikut rekod, obor-obor itu bukan hanya mendarat di Pantai Pulau Kekabu tetapi turut ditemui di Pantai Batu Buruk, Pantai Bukit Keluang, Pantai Maras dan Pulau Redang.

“Kajian dan penelitian yang dijalankan mendapati obor-obor itu mendarat di pantai di negeri ini berikutan faktor cuaca selain dibawa ombak besar,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan sampel obor-obor api yang diterima, hidupan laut itu masih di peringkat pra matang dan diketegorikan bersaiz kecil dan sederhana.

“Paling besar yang ditemui ialah bahagian kepala (floater) bersaiz 10 sentimeter (cm) dan ekor (tentakel) sepanjang 45 cm manakala yang paling kecil ialah kepala bersaiz dua sentimeter dan ekor sepanjang 10 cm.

“Obor-obor api yang mencapai saiz matang boleh mencapai saiz floater 30 cm dan saiz tentakel 30 meter dan sengatannya boleh membawa kepada kematian sekiranya tidak mendapat rawatan segera,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya berjaya mengutip lebih 10 obor-obor api itu di Pantai Pulau Kekabu pada setiap hari.

“Hari ini kami berjaya menemui lebih 30 ekor obor-obor api itu yang terdampar di pantai berkenaan.

“Obor-obor api itu dikumpul di dalam satu bekas untuk diserahkan kepada UMT bagi tujuan penyelidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 7:11 PM