KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Shahrinnahar Latib


MURID sekolah rendah parah selepas dipercayai dilanggar van sekolah yang dinaikinya di Perumahan Makmur Penor Utara Jaya di Kuantan, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superitendan Kamarulzaman Jusoh berkata, pada kejadian 2.40 petang itu, mangsa, Nur Zahra Aisyah Mohd Zaini, 7, keluar dari van untuk pulang ke rumahnya.

“Dalam kejadian itu, van sekolah berkenaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 33 tahun dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau menghala ke perumahan berkenaan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu berkenaan memberhentikan kenderaannya untuk menurunkan mangsa di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas itu, tiba-tiba pemandu itu ternampak kanak-kanak berkenaan melintas di hadapan van yang dipandunya.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu berkenaan tidak sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak lalu terlanggar. Mangsa jatuh di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa sudah menjalani pembedahan malam tadi.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 11:18 AM