FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PENIAGA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ipoh, hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengurus syarikat berjumlah RM15,000 bagi mendapatkan gelaran dan pingat ‘Datuk’, dua tahun lalu.

Tertuduh, K Tanggeswaran, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Tertuduh didakwa menipu AP Logaruben, 30, dalam urusan mendapatkan gelaran dan pingat ‘Datuk’ yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang RM15,000 ke dalam akaun milik tertuduh yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdaya oleh tertuduh.

Tanggeswaran dituduh melakukan kesalahan di Kawasan Perindustrian IGB Klebang 2, Ipoh, pada 19 November 2018, yang boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad menawarkan jaminan RM8,000 namun, tertuduh diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah merayu jaminan rendah dengan alasan menanggung ahli keluarga.

Majistret Umzarul An Nur kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap 15 hari bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 April bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 2:05 PM