ANAK buaya yang sempat dirakam. FOTO Ihsan Abdul Halim Wahab.
ANAK buaya yang sempat dirakam. FOTO Ihsan Abdul Halim Wahab.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA ingatkan biawak rupanya anak buaya yang mengekori dan cuba membaham umpan tiruan,” kata Abdul Halim Wahab, 27, dari Kampung Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu.

Dia berkata demikian ketika menceritakan detik cemas apabila seekor anak buaya tembaga sepanjang satu meter cuba memakan umpan tiruan miliknya ketika memancing menggunakan di Sungai Batu Hampar, Manir, 7 Februari lalu.

Video anak buaya mengejar umpan tiruan milik Abdul Halim itu dikongsi di Facebook sebelum tular dan mendatangkan kebimbangan kepada penduduk dan kaki pancing di sungai berkenaan.

Abdul Halim berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan segera bagi menjamin keselamatan orang ramai.

“Saya difahamkan anak buaya itu sebelum ini dipelihara seseorang tetapi pemiliknya dipercayai sudah meninggal dunia baru-baru ini.

“Ia sangat jinak sehingga berani datang menghampiri gigi air dan saya yakin buaya itu sedang lapar,” katanya.

Katanya, sejak kejadian itu dia tidak lagi ke sungai itu untuk memancing kerana bimbang keselamatan diri.

“Bimbang juga jika ia buaya liar yang mempunyai ibu atau buaya dewasa lain yang sedang memerhati.

“Anak buaya itu memang masih kecil dan tidak mengancam keselamatan tetapi jika dibiarkan ia akan bertambah besar.

“Saya berharap anak buaya itu ditangkap pihak bertanggungjawab dan dipindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 2:55 PM