KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa. FOTO Ihsan PDRM


SEORANG pelajar Politeknik Pagoh, Muar Johor maut apabila motosikal ditungganginya merempuh belakang treler di Kilometer 215 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Alor Gajah, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, Muhammad Dzulhaun Mohd Zaid, 20, meninggal dunia selepas motosikal Yamaha LC135 yang ditungganginya merempuh belakang treler berkenaan ketika mencuba memotong kenderaan berat itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa dan rakannya, Ibnu Ashman Ahmad Hairi, 21, menunggang motosikal masing-masing dalam perjalanan dari Beranang, Selangor ke politeknik berkenaan.

“Siasatan mendapati Ibnu Ashman yang menunggang motosikal Yamaha 125 yang berada di lorong tengah memotong treler di lorong tengah sebelum diikuti oleh mangsa.

“Bagaimanapun mangsa gagal memotong treler yang nombor pendaftarannya tidak diketahui lalu melanggar belakang kenderaan itu dan ia disaksikan oleh rakannya,” katanya di sini, hari ini

Berikutan itu, mangsa yang tercampak ke tengah lebuh raya parah di kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Treler berkenaan bagaimanapun tiada di lokasi kejadian,” katanya.

Mangsa beralamat di Bandar Tasik Kesuma, Beranang manakala rakannya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor

Siasatan mendapati ketika kejadian keadaan jalan kering dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat serta kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 3:24 PM