X
 Tertuduh, Lin Kien Voon, 32; Yaw Xin Vai, 18 dan Chee Siew Wai, 38 dibawa ke mahkamah atas tuduhan memperdagangkan wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi seks. FOTO Hafidzul Hilmi
Tertuduh, Lin Kien Voon, 32; Yaw Xin Vai, 18 dan Chee Siew Wai, 38 dibawa ke mahkamah atas tuduhan memperdagangkan wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi seks. FOTO Hafidzul Hilmi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TIGA individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai 'kak long' dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdagangkan wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh, Lin Kien Voon, 32; Yaw Xin Vai, 18 dan Chee Siew Wai, 38 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dihadapi.

Mereka didakwa memperdagangkan seorang wanita warga Vietnam berusia 17 tahun bagi tujuan eksploitasi seks.

Perbuatan itu dilakukan di Blok KA3, No 3-16-7, Kuchai Avenue pada 11.45 pagi, 4 Februari lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mac ini.

Harian Metro 5 Februari lalu melaporkan, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman yang berkolaborasi bersama Harian Metro dalam satu operasi khas berjaya menumpaskan ejen terbesar sindiket pelacurandi ibu kota.

Sindiket itu dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu dan hasil risikan mendapati, mereka menjanjikan kerja sah termasuk pekerja butik kepada mangsa dengan gaji lumayan sebelum dia dikurung dan dipaksa melacur.

Kelicikan sindiket didalangi wanita berusia 39 tahun yang digelar ‘kak long’ memerangkap mangsa berkubur dengan penahanannya bersama tiga ahli berperanan sebagai pembantu (ejen), penjaga dan transporter.

Dalam serbuan bermula jam 5.30 petang dan berakhir 2 pagi itu turut menyelamatkan seorang gadis Vietnam berusia 17 tahun selain enam wanita rakan senegaranya, Kazakhstan (dua) dan masing-masing seorang dari Russia dan Indonesia.

Untuk rekod, operasi itu juga menahan tujuh individu termasuk seorang warga Bangladesh dipercayai pekerja sebuah spa yang diserbu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 3:55 PM
Kabinet Malaysia 2020