SUPRIADI dikawal kakitangan Jabatan Hidupan Liar di Mahkamah Sandakan. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
SUPRIADI dikawal kakitangan Jabatan Hidupan Liar di Mahkamah Sandakan. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG pekerja ladang warga Indonesia dipenjara 18 bulan dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini, kerana memiliki dua batang gading gajah Borneo tanpa permit Oktober lalu.

Hakim Indra Ayub menjatuhkan hukuman itu ke atas Supriadi Juman, 50 selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan berkenaan.

Supriadi mengaku memiliki dua batang gading gajah Borneo di Ladang Bimbangan 2, Industrial Oxygen Incorporated Sdn Bhd di Beluran, pada 23 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun.

Ketika membuat rayuan, Supriadi yang tidak diwakili peguam itu meminta hukuman dikurangkan kerana masih mempunyai tanggungan iaitu isteri dan dua anak serta berjanji tidak mengulangi kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto.

Menurut fakta kes, pada 19 Oktober lalu empat kakitangan Jabatan Hidupan Liar dibantu tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran ke ladang berkenaan selepas menerima maklumat penemuan bangkai seekor gajah Borneo tanpa gading.

Supriadi yang ditahan 25 Oktober lalu mengaku memiliki dua gading berkenaan dengan niat untuk dijadikan kalung.

Tertuduh juga boleh dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 4:00 PM
Digital NSTP Subscribe