AHMAD Sidi Ismail.
AHMAD Sidi Ismail.
Zatul Iffah Zolkiply


TIDAK wujud istilah kerajaan pintu belakang seperti yang didakwa DAP, sebaliknya ia berpunca daripada masalah dalaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sendiri sehingga membawa kepada ketidakstabilan politik.

Veteran UMNO, Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata, kerajaan PH yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sepatutnya menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin mentadbir negara.

Namun, katanya, pelbagai isu timbul sesama mereka sehingga membawa kepada kepincangan.

“Tak betul cakap UMNO (Barisan Nasional), PAS pengacau sekarang ini kerana yang bermasalah dalam PH sendiri apabila ahli PKR sendiri keluar daripada parti itu selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengumumkan keluar PH.

“Memang terkejut apabila berlaku sebegini kerana kita tahu Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berjanji peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilakukan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November ini.

“Namun, sekarang ini lain yang berlaku sehingga Dr Mahathir meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Bersatu selain pelbagai lagi masalah isu berbangkit dalam PH itu sendiri,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Sidi yang juga Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Terengganu berharap kemelut politik yang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Jika PH tidak mampu mentadbir negara kerana kehilangan majoriti, biar BN, PAS dan beberapa parti yang ada termasuk sebahagian ahli PKR yang keluar dari parti itu membentuk kerajaan baharu.

“Saya risau melihat perkembangan politik ketika ini kerana tidak nampak lagi jalan penyelesaian.

“Saya berharap pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama semua ahli parlimen hari ini (semalam) menemui jalan terbaik sama ada PH terus mentabdir negara atau sebaliknya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 4:05 PM
    Digital NSTP Subscribe