MOHAMAD Irsyhad (kanan) bersama rakan-rakannya menunjukkan keputusan diperoleh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MOHAMAD Irsyhad (kanan) bersama rakan-rakannya menunjukkan keputusan diperoleh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Syaherah Mustafa


“SAYA dedikasikan keputusan cemerlang ini kepada ayah dan ibu,” kata seorang daripada pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas.

Mohamad Irsyhad Mohd Shukri, 19, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019.

Dia memperoleh keputusan A bagi subjek Pengajian Am, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah dan Geografi manakala B untuk subjek Bahasa Melayu.

Anak bongsu daripada tiga adik beradik itu berkata, selain memberi tumpuan penuh ketika di dalam kelas, hubungan baik dengan ibu bapa dan amalan solat sunat memainkan peranan penting untuk berjaya.

“Saya tidak menyangka mendapat PNGK 4.00 memandangkan ketika ujian percubaan saya hanya memperoleh keputusan PNGK 3.50.

“Kesusahan hidup yang saya lalui juga menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha supaya dapat merubah kehidupan yang lebih baik kelak,” kata anak kepada buruh dan suri rumah ini.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang pendidik berkata, dia berharap dapat menjejak kaki ke menara gading, dan meneruskan kecemerlangan di peringkat seterusnya.

“Sebelum ini, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya tidak berapa baik dan saya mengambil keputusan untuk memasuki Tingkatan Enam, Alhamdulillah, kini saya berjaya mendapat keputusan cemerlang.

“Saya berharap pelajar yang berdepan peperiksaan penting tidak pernah putus asa berusaha, paling penting berdoa dan mengamalkan solat sunat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 4:37 PM
Digital NSTP Subscribe