HASNI Mohammad (tengah) ketika mengadakan sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan ADUN BN Johor berhubung perkembangan politik semasa di Pejabat UMNO Johor. FOTO ZAIN AHMED
HASNI Mohammad (tengah) ketika mengadakan sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan ADUN BN Johor berhubung perkembangan politik semasa di Pejabat UMNO Johor. FOTO ZAIN AHMED
Mohamed Farid Noh dan Mohd Fahmi Mohd Yusof dan Omar Ahmad


BARISAN Nasional (BN) Johor mendakwa sudah mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah itu membabitkan 17 ADUN UMNO, MIC dan PAS, 11 ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tiga ADUN PKR dan dua ADUN Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Alhamdulillah, kesemua 17 ADUN membabitkan 16 wakil rakyat BN serta seorang PAS sudah menandatangani SD hari ini (semalam) bagi dikemukakan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Kami sedang menyelesaikan 11 SD daripada BERSATU Johor dan lima SD daripada ADUN PKR dan AMANAH.

“Kami yakin akan menyelesaikan kesemua baki SD ini sehari dua ini sebelum dipersembahkan kepada Sultan Johor secepat mungkin.

“Kita juga yakin sebuah kerajaan baharu membabitkan BN, BERSATU, PKR dan AMANAH akan ditubuhkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini, semalam.

Terdahulu, 16 ADUN BN dan seorang ADUN PAS menghadiri mesyuarat khas di lokasi sama.

Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini terdiri daripada 14 UMNO, DAP (14), BERSATU (11), AMANAH (9), PKR (5), MIC (2) dan PAS (1).

Ketika ini, Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat, adalah Setiausaha Organisasi Kebangsaan AMANAH.

Sementara itu, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, kerajaan negeri runtuh apabila kerajaan sedia ada hilang majoriti untuk berfungsi sebagai kerajaan.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa pemimpin DAP, PKR dan AMANAH yang menuduh penubuhan kerajaan dengan cara pintu belakang adalah pengkhianatan mandat rakyat, Hasni berkata, tidak timbul isu kerajaan pintu belakang.

“Kerajaan negeri sudah pun runtuh, tidak timbul langsung kerajaan pintu belakang. Yang pasti kerajaan baharu tidak ada ADUN DAP menyertainya,” katanya.

Mengulas mengenai siapa yang akan menerajui gabungan blok baharu kerajaan Johor, Hasni berkata, secara tradisinya, di Johor, wakil rakyat yang menjadi majoriti akan mengetuai gabungan.

“Namun perbincangan mengenai siapa yang akan dinamakan sebagai menteri besar baharu belum lagi dijalankan dan ia perlu dibincangkan secara bersama.

“Ingin dijelaskan di sini, tiada sebarang jaminan dan syarat dikenakan tiga ADUN PKR dan dua ADUN AMANAH yang bersetuju menubuhkan kerajaan bersama kami.

“Mereka juga bebas memutuskan untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai mana-mana parti dalam gabungan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:45 PM
    Digital NSTP Subscribe