NORHASINAH Abd Haniff (tengah barisan belakang) bersama sebahagian pelajar yang mendapat keputusan baik dalam STPM. FOTO MOHD AMIN JALIL.
NORHASINAH Abd Haniff (tengah barisan belakang) bersama sebahagian pelajar yang mendapat keputusan baik dalam STPM. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


KEHILANGAN ayah akibat kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu, menjadi pembakar semangat Norhasinah Abd Haniff untuk mencapai keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), yang diumumkan hari ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV), Seremban, Norhasinah, 20, berkata beliau gembira dengan keputusan dicapainya namun sedih dan terkilan tidak dapat berkongsi dengan ayahnya seorang pemandu lori yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kajang, Selangor.

“Saya terkesan dengan kehilangan ayah yang tidak dapat saksikan kejayaan dalam keputusan STPM hari ini. Namun, kehilangan inilah menjadi pembakar semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan maju dalam pelajaran.

“Syukur, Alhamdulillah, hasrat saya untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam STPM akhirnya tercapai,” katanya yang hadir bersama ibunya yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak.

Dia ditemui selepas menerima slip peperiksaan itu daripada Pengetua SMKGV, Roslin Balia, di dewan sekolah itu, hari ini.

Norhasinah yang memperoleh PNGK 3.9 pada ujian percubaan berkata, dia sememangnya meletakkan sasaran untuk mendapatkan 4.0.

“Hasil kerja keras, sokongan guru dan rakan-rakan, sasaran itu berjaya dicapai. Saya sering belajar secara berkumpulan dan berkongsi maklumat dengan rakan lain untuk memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.

“Menerusi cara itu, kami dapat maklumat yang lengkap dan mencukupi sepertimana yang dikehendaki dalam peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Roslin berkata, prestasi STPM sekolah itu meningkat 1.22 peratus berbanding tahun 2018, apabila merekodkan peratusan lulus sebanyak 97.3 peratus.

“Seramai 124 calon mengambil peperiksaan STPM tahun lalu dan dua pelajar memperoleh PNGK 4.0,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:03 PM
Digital NSTP Subscribe