ANGGOTA polis berkawal di hadapan pintu masuk 2 Istana Negara berikutan dipercayai Ahli Parlimen akan mengadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, Jalan Duta. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA polis berkawal di hadapan pintu masuk 2 Istana Negara berikutan dipercayai Ahli Parlimen akan mengadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, Jalan Duta. FOTO Hairul Anuar Rahim
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dilaporkan berada bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sejak jam 2.30 petang tadi.

Kehadiran kedua-dua pemimpin pasukan keselamatan itu adalah bagi memaklumkan situasi dan keadaan keselamatan semasa negara kepada Al-Sultan Abdullah selepas berlakunya kemelut politik tanah air.

Keberadaan kedua-dua mereka di Istana Negara juga berlangsung ketika pertemuan antara Al-Sultan Abdullah bersama sebahagian besar ahli parlimen dari pelbagai parti politik.

Abdul Hamid Bador berkata, keadaan dalam negara adalah tenang dan teratur tanpa sebarang cubaan mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya dan Jeneral Tan Sri Affendi berada di samping Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, untuk memaklumkan apa jua maklumat yang ingin Tuanku dapatkan mengenai keselamatan negara.

“Bagaimana pun kami tidak terbabit dalam sebarang pertemuan antara Baginda Tuanku dengan sebahagian besar Ahli Parlimen pada hari ini namun segalanya berlangsung dalam keadaan tenang dan terkawal selepas masing-masing memahami segala peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Hamid berkata, berdasarkan situasi terkini, keadaan dijangka kembali seperti sediakala dalam masa terdekat selepas semua pertemuan selesai dijalankan.

“Setakat ini saya jangkakan keadaan akan kembali (normal) seperti biasa antara esok atau lusa, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau sebarang perkembangan terkini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sehingga kini PDRM belum menerima sebarang maklumat berhubung penularan laporan atau berita palsu tentang kemelut politik yang sedang berlangsung.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan akan kembali ke Istana Negara esok untuk tujuan yang sama.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 8:27 PM
    Digital NSTP Subscribe