Abdul Rahemang Taiming

POLIS sedang mengesan waris mayat lelaki yang ditemukan dalam kawasan semak berhampiran kawasan lapangan terbang lama di sini, tengah hari tadi.

Mayat dikenal pasti sebagai Mohammad Saip Sokong, 52, dengan alamat terakhirnya di Kampung Nusa Lalung, dekat Semporna.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari tadi, mayat berbaju hitam serta berseluar jeans itu ditemukan orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, lelaki itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih enam jam dan pemeriksaan ke atas mayat tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Beliau menjelaskan, tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian selain dompet yang mengandungi kad pengenalan ditemui dalam poket seluar yang dipakainya.

“Sehubungan itu, kami meminta waris atau pihak yang berkaitan yang ada kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan serta membuat pengecaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Peter berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Tawau sementara menunggu proses bedah siasat dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Pusat Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Jafri Abdul Hamid di talian 089-772121,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat dalam semak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 9:04 PM