Salahuddin Ayob. FOTO Sairien Nafis
Salahuddin Ayob. FOTO Sairien Nafis
Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


PAKATAN Harapan (PH) sepakat untuk ‘bersatu’ termasuk mengemukakan calon Perdana Menteri sama bagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, esok.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tiga parti dalam PH sudah berbincang sebentar tadi dan keputusan mereka hanya akan diumumkan esok.

“Kita dan bincang tadi dan buat keputusan. Perbincangan hari ini mengenai tiga parti yang masih ada dalam PH dan tujuan ke Istana (Negara) esok,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.

Ditanya mengenai calon Perdana Menteri yang akan dikemukakan PH, Salahuddin berkata, perkara itu juga hanya akan diumumkan esok.

“Perkara ini ada dibincangkan dan kami sudah mencapai kata sepakat, jadi tunggu esok,” katanya.

Salahuddin berkata, mesyuarat hari ini menjurus kepada kesepakatan antara tiga parti yang masih ada dalam PH.

“Kami (tiga parti) akan bagi jawapan yang sama kepada Agong (YDPA) esok,” katanya.

Semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan parti itu keluar daripada gabungan PH.

Tindakan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 9:20 PM