Nurul Hidayah Bahaudin


DEMONSTRASI yang dianjurkan susulan keadaan politik tanah air di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam ini tidak mendapat sambutan apabila hanya kira-kira 80 individu hadir menyertai perhimpunan berkenaan, malam ini.

Mereka dilihat mula berkumpul di kawasan berkenaan jam 8 malam tadi.

Ada beberapa individu dipercayai mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan mahasiswa turut membuat ucapan dalam perhimpunan itu.

Anggota penguat kuasa terdiri daripada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di lokasi bagi memantau perhimpunan berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis akan melakukan pemantauan di Dataran Merdeka ekoran penganjuran demonstrasi itu.

BEBERAPA individu yang menyertai demonstrasi di Dataran Merdeka. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
BEBERAPA individu yang menyertai demonstrasi di Dataran Merdeka. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah memaklumkan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan selepas melihat poster yang tersebar.

Katanya, pihaknya tidak ada menerima sebarang pemakluman berhubung demonstrasi berkenaan daripada penganjur.

Terdahulu, satu poster mengenai ‘Demokrasi mati, ayuh turun ke jalan’ yang memaparkan slogan ‘Rakyat mandiri! Nasib kita bukan dalam tangan para politikus’ tular di media sosial, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 9:22 PM