Balqis Jazimah Zahari


POLIS Perak meminta semua pihak terutama parti politik agar menjalankan proses demokrasi dengan baik.

Selain itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, mereka juga diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi susulan isu peralihan kuasa yang melanda negara ketika ini.

“Saya menasihatkan semua pihak terutama parti politik menentukan proses demokrasi berjalan dengan baik.

“Jangan ada provokasi yang membuat masyarakat khuatir akan keselamatan negeri terutamanya negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

RAZARUDIN (tengah) pada sidang media di Ipoh, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
RAZARUDIN (tengah) pada sidang media di Ipoh, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu antara Datuk Mazlan Santarai dengan Datuk Goh Boon Keng.

Razarudin berkata, melihat suasana politik negara ketika ini pihak polis sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga berdepan apa jua keadaan di negeri ini.

“Kita memang sentiasa bersiap sedia, bukan pada keadaan ini sahaja... Anggota sebelum ini sudah menjalankan pelbagai Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP).

“Jadi, kita masih lagi menunggu keadaan politik di pusat dan di negeri, namun sekali lagi berpesan, agar tiada provokasi bagi menentukan negeri ini dalam keadaan yang aman,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 1:27 PM
    Digital NSTP Subscribe