EMPAT ahli sindiket judi dalam talian ditahan polis di Taman Hui Sing, Kuching, pagi tadi. FOTO POLIS
EMPAT ahli sindiket judi dalam talian ditahan polis di Taman Hui Sing, Kuching, pagi tadi. FOTO POLIS
Mohd Roji Kawi


EMPAT ahli sindiket perjudian dalam talian termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Hui Sing di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, serbuan kira-kira jam 10 pagi itu dilakukan hasil maklumat awam selain risikan pihaknya.

Beliau berkata, empat suspek itu berusia antara 19 hingga 38 tahun dan semuanya rakyat tempatan.

“Mereka dipercayai sudah menjadikan rumah itu sebagai pusat operasi judi dalam talian sejak enam bulan lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket itu dipercayai mampu meraih sehingga RM600,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Soon Kuai berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas tujuh unit komputer yang digunakan untuk mengendalikan perjudian dalam talian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 2:13 PM