X
DR Aminuddin (dua dari kanan) menaiki bas selepas merasmikan program Ronda-Ronda Putrajaya dan melancarkan buku Unggas Putrajaya ( Bird Haven) di Putrajaya, semalam. FOTO SAMADI AHMAD
DR Aminuddin (dua dari kanan) menaiki bas selepas merasmikan program Ronda-Ronda Putrajaya dan melancarkan buku Unggas Putrajaya ( Bird Haven) di Putrajaya, semalam. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


PERBADANAN Putrajaya (PPj) melancarkan produk pelancongan baharu melalui Ronda-Ronda Putrajaya di pusat pentadbiran kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2020), semalam.

Ronda-Ronda Putrajaya adalah tarikan pelancongan menawarkan lawatan berpandu dengan menaiki bas dua tingkat disediakan secara kolaborasi antara PPj dan syarikat Elang Wah Sdn Bhd.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, Ronda-Ronda Putrajaya adalah sebahagian daripada inisiatif dan usaha berterusan dalam mewujudkan produk pelancongan baharu sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 dan Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020.

“Pelancong dapat menikmati keindahan panorama Putrajaya serta informasi jelas tanpa memandu sendiri ke setiap tempat ingin dilawati.

“Bas dua tingkat ini mesra golongan orang kurang upaya (OKU) yang boleh memuatkan 50 penumpang pada satu-satu masa dengan kemudahan pelantar pandangan terbuka di bahagian atas serta dilengkapi pemandu pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Ronda-Ronda Putrajaya semalam.

Hadir sama, Pengarah Kanan Domestik & Acara Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghafar dan Naib Pengarah Perkhidmatan Korporat PPj, Kamaruddin Dolmat.

Pada majlis sama, Dr Aminuddin turut melancarkan buku bertajuk Unggas Putrajaya (Bird Haven) sebagai lanjutan mewujudkan Putrajaya sebagai destinasi ‘urban birding’ utama negara.

Bas Ronda-Ronda Putrajaya itu beroperasi dari 3.30 petang sehingga 11 malam yang membolehkan penumpangnya naik serta turun di dua stesen di Dataran Putrajaya, Presint 1 dan Putrajaya Sentral, Presint 7.

Tiket bagi dewasa warganegara Malaysia adalah RM18 dan bukan warga negara RM28, manakala kanak-kanak warganegara RM10 dan RM20 bagi warga asing.

Antara tempat menarik dilalui termasuk bangunan Perdana Putra, Masjid Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Istana Melawati, Tasik Putrajaya, bangunan sepanjang Persiaran Perdana dan taman awam.

Dr Aminuddin berkata, Putrajaya mempunyai keunikan tersendiri menerusi kepelbagaian koleksi flora dan fauna yang merupakan khazanah bernilai kepada negara.

Beliau berkata, berdasarkan kajian terdapat kira-kira 202 spesis burung dari beberapa taman di sekitar kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 2:37 PM
Digital NSTP Subscribe