Sri Ayu Kartika Amri dan Faliqah Alia Radin Mohd


INSTITUT Penyelidikan dan Perubatan (IMR), bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan serangan virus di negara ini selain Covid-19.

Pengarah IMR, Dr Tahir Aris berkata, melalui proses dan prosedur ujian pengesanan Covid-19, pihaknya berjaya mengesan virus terbabit dalam tempoh lima hingga enam jam sahaja.

Katanya, Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC) IMR adalah makmal rujukan untuk penyakit disebabkan virus terutama yang baharu dikesan ataupun (virus) muncul semula.

“Selain Covid-19, kesiapsiagaan kami termasuk mempunyai kapasiti makmal untuk mengesan penularan kebanyakan virus yang mempunyai kepentingan kesihatan awam seperti Ebola, Marburg, Lassa, Covid-19, Yellow Fever, West Nile Virus, Rift Valley Virus, Rabies dan lain lain lagi.

DR Tahir Aris ketika sesi taklimat mengenai proses dan prosedur ujian pengesanan COVID-19 di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
DR Tahir Aris ketika sesi taklimat mengenai proses dan prosedur ujian pengesanan COVID-19 di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

“Apabila terdapat berita yang mengatakan kebarangkalian kemunculan virus baharu, Unit Virologi sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan ia (virus) sampai ke Malaysia,” katanya pada taklimat media mengenai proses dan prosedur ujian pengesanan makmal Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua IDRC IMR, Dr Norazah Ahmad dan Ketua Unit Virologi IDRC IMR, Dr Ravindran Thayan.

Dr Tahir berkata, ujian yang dibangunkan di IMR telah digunakan untuk mengesahkan empat kes Covid-19.

“Bagi memastikan IMR mematuhi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perbandingan dilakukan antara ujian IMR dan Covid-19 WHO.

“IMR kini menggunakan ujian Covid-19 WHO sebagai ujian utama untuk mengesahkan jangkitan Covid-19 dan kaedah IMR sebagai sokongan,” katanya.

Katanya, memandangkan IMR menjadi rujukan, pihaknya sudah melatih 12 hospital di seluruh negara serta lima makmal kesihatan awam dan empat makmal di Sabah, Johor, Perak dan Kelantan untuk menjalankan kajian ini.

“Bagaimanapun, hasil keputusan ujian di makmal hospital lain atau makmal kesihatan awam dipantau IMR,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 2:40 PM