NAJWAH menemui peniaga pada Karnival Usahawan 2020 anjuran Pertubuhan Anak Kota Tinggi. FOTO IHSAN TEKUN NASIONAL
NAJWAH menemui peniaga pada Karnival Usahawan 2020 anjuran Pertubuhan Anak Kota Tinggi. FOTO IHSAN TEKUN NASIONAL
Adnan Ibrahim


BAGI meningkatkan taraf ekonomi usahawan B40, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional memperuntukkan RM330 juta untuk disalurkan kepada kira-kira 22,000 usahawan di seluruh negara pada tahun ini.

Semua usahawan ini terdiri daripada peniaga kecil-kecilan, pasar malam dan pasar tani, belia, wanita (ibu tunggal, suri rumah), pesara kerajaan atau swasta.

Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional Najwah Halimah Ab Halim berkata, satu pelan tindakan sudah dirangka dengan memberikan fokus penyaluran pembiayaan kepada golongan usahawan B40 melalui tiga inisiatif utama.

Katanya, tiga inisiatif yang itu ialah membesarkan saiz masyarakat kelas menengah, meningkatkan sokongan usahawan secara bersepadu dan membangunkan perusahaan berasaskan komuniti sosial.

“Bagi memastikan usahawan TEKUN berdaya saing dan maju, mereka diwajibkan menghadiri Seminar Asas Keusahawanan (SAK).

“Seminar ini bagi memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan usahawan mengenai ilmu pemasaran dan kewangan mengikut keperluan semasa selain mewujudkan jaringan dalam kalangan mereka,” katanya.

Najwah Halimah berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Usahawan 2020 anjuran Pertubuhan Anak Kota Tinggi di padang tempat letak kereta di hadapan Pasaraya Batu Pahat Mall di sini, hari ini.

Menurut Najwah Halimah, selepas kira-kira 20 tahun Tekun Nasional ditubuhkan, 213,640 usahawan sudah menghadiri SAK dan sebahagian daripadanya menjadi usahawan berjaya seterusnya keluar daripada kelompok kemiskinan.

“Karnival yang diadakan bermula Isnin (24 Februari) hingga Ahad ini (1 Mac) ini memudahkan usahawan mempelbagaikan cara perniagaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 2:44 PM
Digital NSTP Subscribe