DR Rosliwati (dua dari kiri) menunjukkan risalah mengenai Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 selepas sidang media di hospital Sentosa,Kuching hari ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
DR Rosliwati (dua dari kiri) menunjukkan risalah mengenai Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 selepas sidang media di hospital Sentosa,Kuching hari ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


MASALAH penyakit mental di tahap membimbangkan di Sarawak dengan seramai 16,216 pesakit direkod tahun lalu.

Pengarah Hospital Sentosa, Dr Rosliwati Mohd Yusop berkata, di hospital terbabit sahaja terdapat keseluruhan 954 pesakit yang berdaftar dengan 338 daripada diberi rawatan di hospital itu.

“Jumlah pesakit baru menunjukkan peningkatan iaitu seramai 441 pesakit tahun lalu berbanding 346 pesakit pada 2018,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 di Hospital Sentosa di sini, semalam.

Katanya, mereka yang berisiko menghadapi masalah mental ialah golongan berumur 30 hingga 50-an namun trend sakit mental turut banyak membabitkan golongan remaja berpunca daripada pengambilan dadah yang boleh merosakkan otak.

“Stigma masyarakat bahawa sakit mental tidak boleh dirawat perlu diubah kerana ia boleh dipulihkan melalu rawatan awal,” katanya.

Beliau berkata, tekanan yang dihadapi individu menjadi punca kepada masalah sakit mental.

“Banyak faktor yang boleh menjadi punca masalah mental seperti faktor persekitaran, bebanan kerja, situasi kerja dan rakan.

“Kebanyakan mereka yang datang mendapat rawatan sudah mengalami penyakit mental di peringkat akhir yang menyebabkan sukar untuk dirawat,” katanya.

Beliau berkata, Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-6 anjuran Hospital Sentosa yang diadakan pada 1 hingga 3 April ini di Hotel Imperial menjadi platform kesedaran mengenai masalah mental.

“Dijangka 180 hingga 300 peserta terdiri daripada pakar perubatan, psikiatri, kaunselor dan profesional dalam bidang perubatan mengambil bahagian,” katanya.

Katanya, persidangan itu akan memfokuskan kepada kesejahteraan pesakit agar mereka juga mempunyai tujuan hidup dan masa depan seperti masyarakat yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 2:46 PM