PENGANGGUR dipenjara 12 bulan dan denda RM5,000.
PENGANGGUR dipenjara 12 bulan dan denda RM5,000.
Abdul Rahemang Taiming


SEORANG penganggur dipenjara 12 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah menyertai lumba haram dan menunggang motosikal secara merbahaya Ahad lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, menjatuhkan hukuman itu ke atas Choong Chee Wei, 20, selepas tertuduh mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya.

Choong turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu, selain mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen selama dua tahun dari tarikh sabitan.

Mengikut pertuduhan, Choong didakwa menunggang motosikal secara membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan Chong Thien Vun, dekat sini, jam 12.30 tengah malam pada Ahad lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika cuba melarikan diri selepas terbabit dalam kegiatan lumba haram di lokasi itu.

Ketika dikejar pihak berkuasa, tertuduh juga didapati menunggang secara melawan arus selain melanggar lampu isyarat merah di Batu 3 Jalan Apas sebelum motosikalnya mengalami kerosakan brek.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendent Joanne Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:01 PM
Digital NSTP Subscribe