TERTUDUH dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah dera anak tunggalnya di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TERTUDUH dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah dera anak tunggalnya di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


IBU tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mendera anak lelakinya hingga patah tulang pipi dan lebam di muka serta badan.

Tertuduh berusia 29 tahun membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya anak tunggalnya berusia lima tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di Kuala Terengganu antara 14 Januari hingga 20 Februari lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Nooriah menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri dua kali setiap bulan di Balai Polis Chendering serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak patah tulang pipi dipercayai didera ibu kandungnya dalam kejadian di Kuala Terengganu.

Selain itu, mangsa turut mengalami lebam di muka dan beberapa bahagian badan dipercayai akibat perbuatan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:02 PM
Digital NSTP Subscribe