MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawab soalan pada sesi soal jawab sempena Sidang Dewan Negeri, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman. FOTO Sharul Hafiz Zam
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawab soalan pada sesi soal jawab sempena Sidang Dewan Negeri, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri Kedah masih berfungsi seperti biasa sehinggalah ia dimuktamadkan berdasarkan perkembangan politik semasa di peringkat kerajaan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew berkata, pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, setakat ini pihaknya hanya diminta untuk terus melaksanakan tugas masing-masing.

“Kita masih lagi jalankan tugas seperti yang dijadualkan, Mukhriz sekarang berada di Kuala Lumpur dan akan mengadap Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Apabila selesai tugas di sana, beliau akan balik berjumpa dengan kami (Exco) dan kami menyokong Mukhriz sebagai Menteri Besar kerana beliau seorang pemimpin berkaliber.

“Bukan saja DAP, saya rasa parti lain pun dalam Pakatan Harapan (PH) akan terus menyokong beliau,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Halim di Alor Setar, hari ini.

Dalam pada itu, Kok Yew yang juga Pengerusi DAP Kedah, berkata PAS dan UMNO cuba menimbulkan isu apabila akan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad jika tiada pembabitan DAP dalam kerajaan.

“DAP tidak pernah mengamalkan sentimen rasis dalam kepimpinan, dan sentiasa meletakkan agenda kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:35 PM
    Digital NSTP Subscribe