SEBAHAGIAN penyokong PH yang berhimpun di pintu masuk Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO HASSAN OMAR
SEBAHAGIAN penyokong PH yang berhimpun di pintu masuk Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO HASSAN OMAR


KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari meminta rakyat negeri ini supaya sabar dan bertenang menghadapi situasi politik sekarang berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menimbulkan ketidaktentuan politik.

Beliau bagaimanapun berkata, pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mampu menjamin negara dalam keadaan aman.

“Saya harap masyarakat dapat bertenang dengan suasana politik di peringkat negara dan negeri sekarang,” katanya kepada kira-kira 2,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) yang berhimpun di pintu masuk Kompleks Seri Negeri, di sini hari ini.

Adly yang tiba pada 9.05 pagi turun dari kenderaan rasmi kerajaan negeri sebelum berjabat tangan dengan hadirin yang kebanyakannya dipercayai ahli Parti Amanah Negara (Amanah) yang sedia berhimpun sejak 8.30 pagi.

Difahamkan, perhimpunan itu diadakan atas inisiatif beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai beberapa parti dalam PH bagi menyatakan sokongan kepada Adly untuk kekal menerajui kepemimpinan kerajaan negeri.

Selain melaungkan slogan ‘reformasi,’ mereka turut melaungkan slogan ‘hidup Adly’ sebagai tanda sokongan padu kepada Ketua Menteri berkenaan untuk terus mentadbir kerajaan negeri.

Adly berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terbabit menganjurkan perhimpunan itu tetapi mengingatkan mereka agar patuh pada udang-undang.

“Saya harap hadirin sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa dan diharapkan tiada insiden buruk berlaku dalam perhimpunan ini,” katanya.

Selepas berada di tengah perhimpunan itu selama kira-kira lima minit, beliau menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk masuk ke dalam kompleks itu sebelum bertemu Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:40 PM
Digital NSTP Subscribe