LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Ahmad Rabiul Zulkifli


JANGAN memuat naik video berkaitan haiwan liar yang dilindungi di media sosial.

Itu peringatan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja menimbulkan rasa cemas orang awam tetapi mengundang kepada aktiviti pemburuan haram.

“Apabila video berkaitan haiwan liar eksotik seperti harimau, kambing gurun dan buaya dimuat naik dan menjadi tular ia secara tidak langsung memberi maklumat kepada pemburu haram.

“Oleh itu saya memohon keprihatinan orang ramai untuk tidak memuat naik video atau gambar haiwan liar yang dilindungi di media sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai haiwan liar boleh terus berhubung dan membuat aduan kepada Perhilitan.

“Banyak video yang sengaja dimuat naik dan mendakwa berlaku di negeri ini sehingga menimbulkan rasa panik penduduk setempat tetapi selepas disiasat kejadian itu berlaku di negeri lain,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Malek berkata, pihaknya meminta orang ramai menjauhi sungai yang didiami buaya.

Katanya, pihaknya maklum video anak buaya mengejar umpan pemancing yang tular di media sosial.

“Kami akan menjalankan pemantauan di sungai berkenaan dan meneliti tindakan yang perlu diambil.

“Bagaimanapun, kami mengharapkan kerjasama orang ramai terutama kaki pancing supaya tidak mengunjungi kawasan anak buaya itu ditemui untuk sementara waktu.

“Tabiat haiwan liar dan pemangsa itu tidak boleh dijangka, kita tidak tahu sejauh mana tahap keselamatan di kawasan itu untuk dikunjungi,” katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan seorang pemancing terkejut apabila umpan tiruan yang digunakan ketika memancing di Sungai Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu hampir dimakan anak buaya tembaga sepanjang satu meter pada 7 Februari lalu.

Video anak buaya mengejar umpan tiruan milik Abdul Halim Wahab, 27, dari Kampung Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu itu dikongsi di Facebook sebelum tular dan mendatangkan kebimbangan kepada penduduk dan kaki pancing di sungai berkenaan.

Berita berkaitan

''Ingat biawak, rupanya anak buaya''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:53 PM