NORSHAHIRAH maut dalam kemalangan di Kampung Telok Teduri, Pulai, Baling. FOTO IHSAN PEMBACA.
NORSHAHIRAH maut dalam kemalangan di Kampung Telok Teduri, Pulai, Baling. FOTO IHSAN PEMBACA.
Safuri Kamarudin


“ARWAH mahu sangat berjumpa bekas rakan sekolah di sebuah restoran makanan segera di Pekan Baling, tetapi tidak sempat kerana dia menemui ajal bersama ibunya dalam kemalangan itu.”

Begitu kata Hashim Hassan, 53, bapa saudara kepada Norshahirah Wan Sulaiman, 18, yang maut bersama ibunya Siti Aminah Daud, 50, dalam kemalangan di Kampung Telok Teduri, Pulai, Baling, semalam.

Dalam kejadian 8.40 malam, dua beranak itu yang menaiki sebuah motosikal dirempuh dari belakang oleh Perodua Alza dipandu lelaki berusia 33 tahun.

Hashim berkata, Norshahirah yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meminta dihantar ibunya ke Pekan Baling selepas menunaikan solat kerana mahu berjumpa rakan-rakannya.

“Saya memang terkejut apabila dimaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan bersama ibunya.

“Tidak sangka keseronokannya mahu berjumpa rakan sekolah di restoran itu berakhir dengan tragedi.

“Kejadian itu menyebabkan arwah tidak sempat mengambil keputusan SPM yang akan diumumkan, minggu hadapan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Kampung Telok Teduri, Pulai, Baling, hari ini.

Katanya, anak bongsu daripada empat beradik tidak menunjukkan kelainan, cuma dia beria-ia mahu keluar untuk berjumpa dengan rakan sekolah.

“Arwah seorang anak yang baik dan mudah mesra, dan hajatnya untuk berjumpa rakannya tidak kesampaian,” katanya.

Jenazah Norshahirah dan ibunya dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telok Teduri, Pulai selepas solat Zohor hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pemandu Perodua Alza direman dua hari untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 4:39 PM