KEADAAN kenderaan yang remuk akibat kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kenderaan yang remuk akibat kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.
Hazira Ahmad Zaidi


DUA sahabat maut selepas tercampak dari kenderaan dinaiki dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Batu Jong KM 63.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, mangsa yang juga pemandu dan penumpang kereta Honda Civic iaitu Muhamad Habib Mohamad Zain, 25, dan Muhamad Syafiq Fitri Hamadi, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Pasir Puteh menuju ke Cameron Highlands.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta Honda Civic dipandu mangsa secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan berlanggar secara berhadapan.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang Honda Civic maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang lori cedera di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

“Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

“Sampel darah kedua-dua pemandu lori dan kereta turut diambil. Saringan awal kencing pemandu lori didapati negatif,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:17 PM
Kabinet Malaysia 2020