ANTARA pelajar UPNM yang terbabit hadir pada sambung bicara kes pembunuhan pelajar UPNM, Zulfarhan Osman yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
ANTARA pelajar UPNM yang terbabit hadir pada sambung bicara kes pembunuhan pelajar UPNM, Zulfarhan Osman yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
BERNAMA

TERTUDUH keenam dalam perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain menafikan dia dalang mengarahkan rakannya mencederakan mangsa menggunakan seterika wap.

Abdoul Hakeem Mohd Ali, 24, turut menafikan di Mahkamah Tinggi hari ini dia sendiri mencucuh seterika wap ke atas Zulfarhan bagi mendapatkan pengakuan berkenaan beberapa barangan antaranya wang tunai dan komputer riba yang didakwa dicuri mangsa.

“Saya tidak bersetuju saya adalah dalang dalam kejadian ini kerana pada malam itu, saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan pun.

“Saya tidak tahu tetapi saya rasa Mubin Mustaza (seorang lagi rakan mereka) adalah puncanya,” kata tertuduh yang memegang jawatan sebagai Ketua Intake bagi pelajar kadet dalam kumpulan ambilannya, termasuk Zulfarhan.

Menceritakan semula kejadian pada malam 22 Mei 2017 itu, Abdoul Hakeem berkata dia menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp daripada Mubin yang bertanyakan sekiranya dia ada melihat Zulfarhan.

“Mubin beritahu saya bahawa duitnya hilang dan mengesyaki Zulfarhan mengambilnya. Ramai juga pelajar lain turut kehilangan barang tetapi saya tidak tahu jumlah sebenar.

“Saya beritahu Mubin saya tidak tahu Zulfarhan di mana dan selepas menyiapkan tugasan, saya terus pergi ke bilik Zulfarhan di 3-6 untuk mendapatkan kepastian mengenai aduan Mubin tetapi ketika saya tiba, hanya rakan sebilik Zulfarhan dikenali sebagai ‘Syafiq’ ada ketika itu,” katanya pada pemeriksaan utama oleh peguamnya Zambri Idrus pada prosiding membela diri dalam kes pembunuhan Zulfarhan.

Tertuduh berkata dia bertanyakan kepada Syafiq tentang keberadaan Zulfarhan dan dimaklumkan mangsa telah mengikuti Mubin dan seorang lagi rakan mereka yang merupakan saksi pendakwaan ke-24, Ahmad Senabil Mohamad ke bilik 4-10.

“Sebaik tiba di bilik 4-10, saya nampak sekumpulan pelajar sedang berada di dalam bilik tersebut dan mengelilingi Zulfarhan yang sedang duduk di atas kerusi di tengah-tengah.

“Mereka bertubi-tubi menyoal Zulfarhan tentang barang yang didakwa dicurinya namun Zulfarhan masih tidak mengaku. Saya kemudian duduk sebentar di bilik itu sebelum kembali ke bilik saya untuk menyiapkan tugasan,” kata Abdoul Hakeem.

Ditanya peguam lain, Amer Hamzah Arshad sekiranya dia ada kembali ke bilik 4-10 selepas kejadian itu, tertuduh menjawab ‘Ya, saya pergi semula ke bilik 4-10 kira-kira pukul 4 pagi’.

Tertuduh berkata ketika itu dia melihat Mubin sedang memegang seterika wap ke arah Zulfarhan sambil bertanyakan soalan sama sekiranya mangsa ada mencuri pebagai barangan pelajar di Blok Jebat, iaitu blok kediaman para pelajar kadet ini.

“Zulfarhan masih tidak mengaku dan terus menjerit setiap kali seterika wap ditekap ke bahagian badannya. Mubin yang tidak berpuas hati dengan jawapan Zulfarhan kemudian menyerahkan seterika itu kepada seorang lagi tertuduh, Muhammad Najib Mohd Razi yang bertindak menekap seterika wap itu ke lengan Zulfarhan,” katanya.

Seterusnya pada 26 Mei 2017, tertuduh berkata Zulfarhan telah dibawa oleh beberapa rakan mereka ke Klinik Al-Salam di Bangi bagi mendapatkan rawatan dan ketika ditanya doktor tentang kecederaannya, Allahyarham memberitahu beliau terkena bom wap sewaktu latihan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim semasa pemeriksaan balas terhadap tertuduh, mempersoalkan tindakan Abdoul Hakeem selaku ‘Ketua Intake’ yang tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak universiti, malah membiarkan mangsa tetap diseksa dengan seterika wap oleh Mubin dan Muhammad Najib.

Abdoul Hakeem juga tidak bersetuju dengan cadangan Julia yang menyatakan keterangannya dan penafian yang dibuatnya di mahkamah hari ini hanyalah untuk menyelamatkan diri sendiri.

Julia: Keterangan kamu hari ini hanyalah untuk elak kamu dan rakan-rakan yang terbabit untuk tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Abdoul Hakeem: Tidak setuju.

Julia: Kamu dan rakan-rakan tidak membawa Zulfarhan ke klinik lebih awal selepas kejadian untuk mendapatkan rawatan kerana tidak mahu perkara ini diketahui orang lain.

Abdoul Hakeem: Tidak setuju.

Pada 31 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Semua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti itu, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:46 PM
Digital NSTP Subscribe