M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan kerajaan negeri Kedah sedia ada.

Mukhriz berkata, keputusan itu dicapai selepas semua parti bersetuju membentuk gabungan PH campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peringkat Kedah.

Katanya, keputusan itu juga sudah dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah yang memberi perkenan kerajaan negeri diteruskan seperti biasa di bawah kepimpinan beliau.

“Adalah dimaklumkan ADUN PH dan Bersatu menyatakan sokongan kepada saya untuk kekal menjadi Menteri Besar Kedah dan kami sepakat bersetuju supaya kerajaan negeri dikekalkan.

“Kerajaan negeri ini adalah gandingan PH dan Bersatu dan kesepakatan ini bagi menjamin urusan negeri berjalan seperti biasa.

“Saya sudah menghadap Sultan Kedah, Sultan Salahuddin Sultan Badlishah dan baginda berkenaan mendengar penjelasan mengenai situasi semasa politik negara dan negeri,” katanya pada sidang media di Seri Mentaloon, Alor Setar, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PKR negeri, Datuk Johari Abdul; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew.

Mukhriz turut menjelaskan, beliau juga sudah mempersembahkan warkah penzahiran sokongan terhadapnya daripada 18 ADUN PH dan Bersatu kepada Sultan Kedah.

MUKHRIZ (depan) Ir Phahrolrazi (dua dari kanan), Johari (kanan) dan Tan (tiga dari kiri) selepas sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah. FOTO Amran Hamid.
MUKHRIZ (depan) Ir Phahrolrazi (dua dari kanan), Johari (kanan) dan Tan (tiga dari kiri) selepas sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah. FOTO Amran Hamid.

“Tuanku berkenaan menerima warkah berkenaan dan memperkenan supaya saya terus memegang jawatan Menteri Besar Kedah.

“Kami berharap rakyat bertenang dan bersikap rasional kerana pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas oleh perkembangan di peringkat Pusat.

“Kita juga mendoakan pemilihan kepimpinan di peringkat kerajaan Persekutuan akan selesai dengan baik,” katanya.

Mukhriz berkata, keputusan ini sudah mendapat restu Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dimaklumkan kepada pimpinan tertinggi Bersatu.

“Rakan PH juga tidak meletak apa-apa syarat (bagi membentuk kerajaan negeri PH campur BERSATU) dan kita terima pelawaan untuk bersama PH dan kekalkan kerajaan sedia ada.

“Kita harap polemik di peringkat Pusat tidak berpanjangan kerana ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

“Saya ingin mengingatkan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa dan semua EXCO, Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) boleh hadir mesyuarat seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 1:27 PM