Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PIMPINAN utama PKR, DAP dan Amanah dilihat tiba di Hotel Eastin, di Petaling Jaya, jam 1 tengah hari bagi menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijangka berlangsung sebentar lagi.

Turut kelihatan beberapa Ahli Parlimen PKR yang turut berada di lobi hotel berkenaan.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditanya berhubung kehadiran mesyuarat itu berkata, mesyuarat berkenaan akan bermula bila-bila masa.

“Semua datang,” katanya ringkas ketika ditemui di lobi hotel berkenaan.

Sehingga kini, mesyuarat dipercayai masih berlangsung.

Kira-kira 50 pengamal media kini sedang menunggu di pekarangan hotel bagi mendapatkan maklum balas berhubung mesyuarat berkenaan.

Nik Nazmi Nik Ahmad. FOTO Arkib NSTP
Nik Nazmi Nik Ahmad. FOTO Arkib NSTP

Semalam, Pakatan Harapan (PH) memutuskan menamakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin lalu.

Anwar dilaporkan berkata, PH sudah memohon kepada Dr Mahathir untuk kembali bersama PH tetapi ditolak dengan keengganan Perdana Menteri Interim berkenaan hadir mesyuarat yang diadakan semalam.

Katanya, segala keputusan membabitkan pelantikan jawatan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan yang baharu kini diserahkan sepenuhnya di atas pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 2:44 PM