Sri Ayu Kartika Amri

UMNO menghormati sebarang keputusan yang bakal dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung situasi politik semasa membabitkan kepimpinan kerajaan selepas ini.

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO untuk memastikan mereka mendapat perkembangan terkini yang sahih kepada semua saf pimpinan parti.

Menurutnya, pihaknya sudah bersedia jika berkemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan.

“Saya sudah mengeluarkan pekeliling supaya jentera Barisan Nasional (BN) di seluruh negara perlu bergerak bersama PAS untuk membuat persiapan pilihan raya.

“Kita juga sudah memberi mekanisme serta garis panduan di semua peringkat negeri, DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya ketika sidang media khas Mesyuarat Kepimpinan UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

 Annuar ketika sidang media selepas Mesyuarat Kepimpinan UMNO di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Fathil Asri
Annuar ketika sidang media selepas Mesyuarat Kepimpinan UMNO di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. Foto Fathil Asri

Beliau berkata, memandangkan terlalu banyak berita separuh matang dan berita yang sengaja disensasikan, sebagai sebuah parti politik yang terbabit dengan kemelut semasa, pihaknya sangat menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Pendirian kita sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini dan kita serah sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat yang diadakan pada 3 petang hari ini turut dihadiri oleh 180 ketua bahagian dari seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:42 PM
    Digital NSTP Subscribe