NORSUSILAWATI memeriksa teras kayu damar minyak dirampas di Seri Jaya, Maran, semalam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
NORSUSILAWATI memeriksa teras kayu damar minyak dirampas di Seri Jaya, Maran, semalam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


UNIT Penguatkuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merampas damar dan teras kayu tanpa cukai dianggarkan seberat tujuh tan di premis menjual barangan sembahyang Cina di Seri Jaya, Maran, semalam.

Serbuan pada 2 petang itu dilakukan Penolong Pegawai Penguatkuasaan Zon Pahang Timur, Norsusilawati Bakar bersama tiga penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran hasil maklumat awam.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Zon Pahang Timur, Muhammad Firdaus Abdul Kadir berkata, siasatan mendapati pemilik premis berusia 55 tahun itu memiliki hasil hutan tanpa permit dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau kompaun mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Menurutnya, teras atau isi kayu pokok damar minyak dan pokok kayu arang termasuk damar pokok keruing dan pokok kapur digunakan untuk menghasilkan pelbagai barangan sembahyang Cina.

“Pemilik premis berkenaan mendakwa dia tidak mengetahui damar dan teras kayu sebagai hasil hutan perlu dibayar cukai dan sebelum ini dia pernah memohon permit memiliki dan mengumpul tongkat ali.

“Pemeriksaan di premis terletak di pekan Seri Jaya itu mendapati damar disimpan dalam guni dan teras kayu disusun dalam setiap bilik terletak di bahagian belakang kedai terbabit,” katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pemilik premis berkenaan dipercayai membeli damar dan teras kayu daripada pembekal kecil di Kuantan dan mengumpulnya sebelum menjual kepada pembeli utama di luar Pahang bagi menghasilkan pelbagai barangan sembahyang Cina.

Menurutnya, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan individu menjadi pembekal utama damar dan teras kayu terbabit kerana melakukan kesalahan memindahkan hasil hutan tanpa permit.

“Saya tidak menolak kemungkinan terdapat ramai individu aktif mencari hasil hutan seperti damar dan teras kayu di daerah ini, mereka masuk dalam kawasan hutan simpan bagi mendapatkan produk berkenaan.

“Bagi mendapatkan teras pokok damar minyak dan kayu arang, individu terbabit akan memasuki kawasan hutan selepas aktiviti menebang balak dilakukan syarikat pembalakan.

“sebagai contoh teras pokok damar minyak berwarna kemerahan terdapat pada dahan pokok berkenaan, bukan pada batang.

“Teras pokok damar minyak dipercayai turut digunakan sebagai campuran menghasilkan ubat tradisional terkenal dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya.

Beliau berkata, individu terbabit dengan aktiviti mencari, memiliki dan menjual damar serta teras pokok yang dikategorikan sebagai hasil hutan kecil perlu mendapatkan permit daripada JPNP bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:50 PM
Digital NSTP Subscribe