Dr Mahathir pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bersama Ahmad Badri (kanan) dan Mohd Zuki. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Dr Mahathir pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bersama Ahmad Badri (kanan) dan Mohd Zuki. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN Perpaduan boleh dibentuk tanpa seseorang itu mewakili parti politik dalam pentadbiran negara.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan boleh dibentuk sekiranya seseorang Ahli Parlimen itu difikirkan layak untuk menerajui sesebuah kementerian.

Menurutnya, seseorang yang dipilih sebagai Perdana Menteri kelak berhak memilih sesiapa saja menyertai Kabinet yang tidak terhad kepada sesebuah parti politik.

“Dalam Kerajaan Perpaduan, semua parti akan memiliki wakil dalam Kabinet termasuk jawatan menteri.

“Ahli Parlimen bebas juga boleh dilantik jika dia memiliki kelayakan dan siapa yang jadi Perdana Menteri boleh pilih,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan dianggap penyelesaian terbaik kemelut politik negara yang boleh menyebabkan pentadbiran terganggu.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, buat masa ini beliau yang dilantik sebagai Perdana Menteri Interim tidak mempunyai kuasa bagi membentuk Kabinet.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengesahkan beliau menerima semula jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas meletakkan jawatan, Isnin lalu.

“Saya diminta untuk kembali sebagai Pengerusi Bersatu tiga hari lalu, saya minta tangguh supaya saya fikir. Jadi hari ini saya setuju untuk kembali sebagai Pengerusi Bersatu,” katanya.

Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu dibuat tidak lama selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:54 PM
Digital NSTP Subscribe