LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Zuliaty Zulkiffli


IDENTITI dua lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah bas di Lubok Pinang Sanglang, Jitra, hari ini, sudah dikenal pasti.

Mereka adalah pemandu kereta Perodua Viva, Khairil Anwar Mat Rose, 44, serta penumpang, Muhammad Shukor Ahmad, 17.

Sementara seorang lagi penumpang dikenali sebagai Ahmad Shukri Hassan, 43.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, Ahmad Shukri yang berasal dari Jalan Kuala Sungai Padang Simpang Ampat, Perlis patah tangan kanan dan cedera di dagu.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengesan waris mangsa yang maut dalam kemalangan itu.

“Sementara, pemandu kereta Toyota Vios dikenali sebagai Ang Shih, 39, berasal dari Taman Setia Jaya, Yan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, pemandu bas berusia 34 tahun pula luka ringan di kaki kanan, manakala tiga penumpang bas juga cedera ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Viva dikatakan dari Kangar menghala ke Jitra.

“Setibanya di lokasi mangsa dikatakan hendak memotong kereta Toyota Vios sebelum bertembung dengan sebuah bas di lorong bertentangan.

“Pemandu dan seorang daripada penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan

Dua maut nahas tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 8:01 PM
Digital NSTP Subscribe