ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa lemas di Sungai Tebrau. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa lemas di Sungai Tebrau. FOTO Ihsan Bomba


KANAK-KANAK lelaki lemas selepas selamatkan rakan ketika mandi di Sungai Tebrau, Jalan Bunga Mawar, Kampung Maju Jaya di Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Muhamad Afiq Hakimi Abdul Kodi, 12, dikatakan bersama tiga rakan sebaya ke sungai itu untuk memancing.

Bagaimanapun, seorang daripada rakan mangsa mandi di sungai itu dan hampir lemas menyebabkan Muhamad Afiq terjun menyelamatkan rakannya itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya difahamkan selepas berjaya menyelamatkan rakannya, mangsa ditarik pusaran air menyebabkan dia lemas.

Katanya, terdahulu bomba menerima panggilan pada 3.38 petang dan mengerahkan 15 anggota bersama jentera dari BBP Kulai serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Tebrau.

Katanya, bomba menggunakan teknik mencari menyelamat di permukaan air di sungai yang berkedalaman kira-kira tiga meter itu sebelum jasad mayat mangsa ditemukan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 9:16 PM
Digital NSTP Subscribe