NAJIB Razak ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
NAJIB Razak ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
BERNAMA

SEORANG pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pasti sama ada orang ditemuinya di Riyadh pada 2015 adalah benar-benar putera Arab Saudi, Putera Saud Abdul Aziz.

Putera Saud Abdul Aziz individu yang didakwa menandatangani empat surat yang dikaitkan dengan derma berjumlah RM2.6 bilion daripada kerabat diraja Arab Saudi kepada Najib.

Asisten Komisioner SPRM Mohd Nasharudin Amir, 48, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihak SPRM pergi ke Riyadh, Arab Saudi pada 27 November 2015 bagi memastikan ketulenan empat surat dikaitkan dengan derma didakwa diberikan oleh kerabat diraja Arab Saudi kepada bekas perdana menteri itu.

“Seingat saya pada 27 November 2015, saya telah diarahkan oleh bekas pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) Fikri Ab Rahim untuk bersama-sama dengan beliau ke Arab Saudi untuk tujuan itu.

“Turut bersama kami adalah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dzulkifli Ahmad (kini bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM), Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dan pegawai kanan SPRM, Mohd Hafaz Nazar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes salah guna dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib yang memasuki hari ke-84 hari ini.


Muhammad Shafee: Siapa Saud Abdul Aziz ini?

Mohd Nasharudin: Kalau ikut nama, beliau orang besar daripada keturunan diraja.

Muhammad Shafee: Bagaimana kamu tahu keturunan beliau?

Mohd Nasharudin: Saya tidak pasti yang saya jumpa itu siapa.

Muhammad Shafee: ...tetapi kamu ada waktu itu dan kamu bertemu dengan beliau?

Mohd Nasharudin: Ada. Pada 29 November di sebuah rumah besar seperti istana di Riyadh.


Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram, saksi berkata Saud tidak menandatangani sebarang kenyataan yang direkodkan oleh SPRM kerana ia datang daripada ejen dan peguam Putera Saud, Abdullah Al-Koman.

Terdahulu, pada pemeriksaan utama oleh Muhammad Shafee, Mohamad Nasharudin berkata Putera Saud diwakili Abdullah kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Sithambaram yang menyatakan adalah tidak wajar sekiranya individu selain Putera Saud mengesahkan bahawa derma ada dibuat kepada bekas perdana menteri itu.

Menjawab soalan lanjut daripada Sithambaram, Mohd Nasharudin berkata pemergian sekumpulan pegawai SPRM ke Arab Saudi pada November 2015 tidak memperoleh apa-apa bukti dokumen untuk menyokong dakwaan derma kepada Najib.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata pihak pembelaan akan cuba untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya untuk memberikan keterangan Isnin depan.

“Bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah bersedia untuk memberi keterangan tetapi buat masa ini beliau mempunyai hal peribadi untuk diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 9:22 PM
Digital NSTP Subscribe