ANTARA kenderaan yang dirampas. FOTO Mohd Khidir Zakaria
ANTARA kenderaan yang dirampas. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


ENAM lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes kecurian pasir di Kampung Sungai Nipah di Port Dickson, minggu lalu.

Mereka ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Kampung Sungai Nipah dan Jalan Lama Seremban.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada mulanya, lima lelaki ditahan di tapak simpanan pasir (stockpile) di Kampung Sungai Nipah.

“Suspek berusia antara 26 hingga 58 tahun, yang juga pemandu dan kelindan lori serta pemandu jengkaut.

“Polis turut merampas dua lori berisi pasir, di tempat kejadian dan sebuah jengkaut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 48 tahun di Jalan Lama Seremban.

“Lelaki itu dipercayai adalah dalang yang terbabit dalam kes kecurian pasir ini.

“Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang permit dikeluarkan ke atas lelaki itu untuk menghantar pasir tersebut ke Banting, Selangor,” katanya.

Aidi Sham berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 9:51 AM
Digital NSTP Subscribe