ANGGOTA bomba memadam kebakaran di kawasan setinggan di Kampung Gentisan, Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO JUWAN RIDUAN
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di kawasan setinggan di Kampung Gentisan, Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


KIRA-KIRA 80 penghuni daripada 11 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas 11 rumah setinggan didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Gentisan, Sepanggar, Kota Kinabalu, awal pagi hari ini.

Dalam kebakaran 1.40 pagi itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat ke rumah lain berikutan kedudukan kediaman rapat, selain struktur diperbuat daripada kayu.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, namun sebahagian besar penghuni tidak sempat menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.49 pagi dan enam jentera serta tiga unit utiliti dengan kekuatan 29 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati beberapa rumah terbakar dan bomba terus melakukan pemadaman untuk mengelak api merebak kerana jarak antara rumah terlalu dekat.

“Bomba berjaya mengawal api pada 2.11 pagi dan kebakaran memusnahkan 11 rumah jenis tidak kekal,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan bahan mudah terbakar kerana rumah diperbuat daripada kayu dan papan lapis selain jarak di antara rumah adalah rapat.

Katanya, aAnggota bomba dapat mengawal beberapa buah rumah berhampiran daripada terbakar.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi pemadaman tamat jam 4.36 pagi.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 11:27 AM
Digital NSTP Subscribe