DR Mahathir. FOTO arkib NSTP
DR Mahathir. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor memberi sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri kelapan negara.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat khas malam tadi.

“Seramai 19 daripada 26 ketua bahagian Bersatu yang hadir pada mesyuarat malam tadi menyokong Tun Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.

“Ketetapan itu diambil dengan mengambil kira negara masih memerlukan sumbangan Tun Mahathir yang juga negarawan ulung untuk terus memimpin Malaysia, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri Interim dilaporkan berkata, beliau bersetuju sekiranya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti dan dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Ada kemungkinan beliau dicalonkan (jadi PM). Jika semua pilih Muhyiddin, saya okay,” katanya dalam laporan berkenaan.

Dr Mahathir dilaporkan turut menerima kembali jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, semalam.

Isnin lalu, selain meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 11:29 AM
    Digital NSTP Subscribe