RAMLI (kanan) menerima surat terima tugas daripada Md Asri sambil disaksikan Noor Azam sempena majlis serah tugas di perkarangan IPD Kuala Selangor, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
RAMLI (kanan) menerima surat terima tugas daripada Md Asri sambil disaksikan Noor Azam sempena majlis serah tugas di perkarangan IPD Kuala Selangor, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


SUPERINTENDAN Ramli Kasa dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Ramli, 54, sebelum ini bertugas sebagai KPD Tampin, Negeri Sembilan.

Beliau menerima tugas sebagai KPD daripada Superintendan Md Asri A Wahab yang bersara wajib pada 2 Mac ini sempena majlis serah tugas di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, hari ini.

Majlis disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Turut diadakan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kuala Selangor di antara Ramlah Long Chek dan Nasibah Ahmad.

Ramli berkata, pelantikan itu tanggungjawab besar baginya dan berharap pegawai dan anggota IPD Kuala Selangor bekerjasama menaikkan martabat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak (pegawai dan anggota) bagi menaikkan imej pasukan di daerah ini.

“Walaupun pernah menjawat jawatan yang sama sebelum ini, saya anggap cabaran di Kuala Selangor jauh berbeza dengan Tampin.

“Sebelum ini, saya menitikberatkan soal hubungan dengan masyarakat setempat. Di Kuala Selangor, kaedah ini akan diteruskan dan ditambah baik sesuai dengan keperluan di sini,” katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 11:49 AM
Digital NSTP Subscribe