AHMAD Lokman ditemui selepas meninjau lokasi helikopter terhempas, hari ini. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING.
AHMAD Lokman ditemui selepas meninjau lokasi helikopter terhempas, hari ini. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING.
Abdul Rahemang Taiming


SIASATAN menyeluruh bagi mengenal pasti punca helikopter Agusta Westland AW139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Kem Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, petang semalam akan dijalankan 4.30 petang ini.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata, pasukan siasatan daripada Bahagian Siasatan Kemalangan Udara akan meliputi pelbagai aspek termasuk masalah teknikal atau kesilapan manusia.

Beliau berkata, laporan penuh siasatan berkenaan dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua hari.

“Pasukan siasatan dijangka memulakan siasatan 4.30 petang ini dan berkemungkinan berlanjutan sehingga esok bergantung kepada situasi semasa.

“Disamping itu, semua kru akan kekal di sini untuk diambil keterangan sehingga siasatan sepenuhnya selesai,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi nahas, hari ini.

Ahmad Lokman berkata, tiga anggota cedera iaitu Sarjan Wedrich Sindih, 34, dilaporkan patah tulang leher dan tulang pinggul sebelah kiri yang ketika ini dirawat di Hospital Tawau akan dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu untuk menjalani ujian MRI.

Sementara itu, katanya, Sarjan Sarjan Mohamad Radzie Radaie, 40, dilaporkan patah tiga ruas tulang rusuk sebelah kanan berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa.

Helikopter jenis Agusta Westland AW139 dengan nombor pendaftaran 9M-PMC itu dikatakan sedang dalam tugasan rutin ‘Op Taring’ dari PGU Kota Kinabalu ke Sandakan pada 26 Februari sebelum berlepas Lahad Datu dan Tawau pada tengah hari semalam.

Bagaimanapun, helikopter itu dilaporkan hilang kawalan ketika cuba membuat pendaratan di kem berkenaan sebelum terhempas.

Helikopter terbabit adalah aset baharu milik PDRM yang diserahkan secara rasmi pada 18 April 2019 dan ditempatkan di Pangkalan PGU Pangkalan Sabah bagi menjalankan tugas pemantauan dan rondaan di kawasan pantai timur Sabah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Helikopter hilang kawalan, rempuh bumbung bangunan

'[UPDATE] Kru helikopter, penumpang selamat’

'Helikopter PDRM terhempas'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 12:10 PM
Digital NSTP Subscribe