Nor Fazlina Abdul Rahim


PAS bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat, berikutan kemelut politik negara ketika ini.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebarang keputusan untuk membentuk kerajaan sama ada perpaduan atau minoriti, terpulang kepada suasana dan kebijaksanaan pemimpin negara.

“Hari ini dikatakan ada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja untuk berbincang tentang perkara dikemukakan Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil pandangan.

“Buat masa ini, terlampau banyak spekulasi, namun kita di pihak PAS bertenang dan mengikut perkembangan. Semoga langkah diambil di peringkat Persekutuan dapat menyelesaikan masalah.

“Rujuklah kepada mereka yang pakar perundangan dan Perlembagaan untuk melihat konflik yang berlaku hari ini supaya ia dapat diselesaikan dengan baik kerana rakyat sedang menunggu,” katanya ketika ditemui pada kuliah mingguan PAS di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jentera PAS sudah bersedia bagi menghadapi PRU.

“Apa sahaja keputusan sama ada berat atau ringan, kita akan tanggung,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, sidang khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini akan memilih Perdana Menteri yang baharu, kata Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri interim berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 12:24 PM
    DATUK Ahmad Yakob ditemuramah media mengenai isu politik semasa selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati. FOTO Zaman Huri Isa
    DATUK Ahmad Yakob ditemuramah media mengenai isu politik semasa selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati. FOTO Zaman Huri Isa
    Digital NSTP Subscribe