MOHAMAD Azman. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHAMAD Azman. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


MENGHIDAP Osteogenesis Imperfecta (OI) atau tulang rapuh sejak lahir tidak menghalang pemuda ini membuktikan dia mampu berdikari.

Mohamad Azman Mohamad Tazar, 22, berkata, dia pernah beberapa kali gagal dalam sesi temu duga ketika mencari pekerjaan namun tidak sesekali berputus asa dan terus berusaha mencari kerja bersesuaian dengan kudratnya.

Katanya, selepas tamat pengajian Diploma Komputer Teknologi Maklumat di Kolej Teknologi Darul Naim pada 2017, hampir setahun dia cuba mencari pekerjaan, namun tidak ada majikan yang mahu menerimanya menyebabkan dia melakukan kerja sambilan sebagai pembina laman web.

“Saya tidak mahu menjadikan kekurangan untuk terus berpeluk tubuh atau mengharapkan simpati keluarga atau orang di sekeliling kerana saya boleh melakukan kerja untuk menampung hidup.

“Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran akhirnya pada Ogos lalu saya diterima bekerja secara tetap di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Perkongsian Bersama Ibu Bapa/ Penjaga Pesakit Osteogenesis Imperfecta di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, berikutan keadaan dirinya itu, bapanya akan menghantar dan mengambilnya setiap kali pergi dan pulang dari tempat kerja yang terletak di Kota Bharu.

“Bagi memudahkan pergerakan di tempat kerja, saya membawa papan luncur untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Ketika berusia 12 tahun saya pernah menjalani pembedahan memasukkan besi pada kaki kanan bagi menggantikan tulang yang sudah rapuh,” katanya.

Sambil berseloroh, Mohamad Azman berkata, suatu ketika dulu ketika masuk mendaftar di sekolah, guru besar menyuruhnya membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan sama ada dia tergolong dalam kategori OKU ataupun tidak.

“Selepas pemeriksaan yang dilakukan, doktor menyatakan saya sihat kecuali fizikal saja yang cacat dan barulah guru besar menempatkan saya di kelas aliran perdana bersama pelajar normal yang lain.

“Bagaimanapun, ketika berada di Tahun Tiga, ibu terpaksa mendukung saya untuk ke kelas kerana berada di tingkat atas, namun mujurlah semasa berada di sekolah menengah, semua kelas ditempatkan di tingkat bawah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 12:27 PM
Digital NSTP Subscribe