FREDIEL Nyambong menunjukkan rokok dan arak seludup yang dirampas dalam serbuan di Kampung Melaban, Betong. FOTO IHSAN PGA
FREDIEL Nyambong menunjukkan rokok dan arak seludup yang dirampas dalam serbuan di Kampung Melaban, Betong. FOTO IHSAN PGA
Norsyazwani Nasri


RAHSIA sebuah rumah di Kampung Meleban, Betong yang dijadikan tempat menyimpan rokok dan minuman keras seludup terbongkar selepas diserbu Kompeni C Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman dalam Op Libas semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, sejumlah 2,195 karton rokok serta 25 kotak minuman keras dirampas.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu, Deputi Superintendan Frediel Nyambong berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah van adalah sebanyak RM723,600 termasuk cukai.

“Modus operandi yang digunakan penyeludup ialah dengan menjadikan rumah di kawasan luar bandar sebagai transit penyimpanan sebelum diedarkan ke sekitar Bahagian Betong,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong di sini, hari ini.

Menurut Frediel, turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah van Toyota yang digunakan untuk menjalankan aktiviti itu.

“Dua lelaki tempatan dipercayai pemilik dan pekerja stor berusia 45 dan 24 tahun yang berada di lokasi serbuan turut ditahan.

“Kesemua barang rampasan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,”katanya.

Beliau berkata, rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Betong untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kita akan menjalankan operasi secara berterusan agar kegiatan penyeludupan dapat dibanteras.

“Untuk kita memerlukan orang ramai untuk bekerjasama melaporkan sebarang kegiatan penyeludupan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 4:00 PM