X
Mohd Huzaimi Hanafi (dua dari kanan) dan Ustaz Haslin Baharim bertemu Orang Diselia (ODS) pada Program Ceramah Motivasi Sebening Kasih Keinsafan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Huzaimi Hanafi (dua dari kanan) dan Ustaz Haslin Baharim bertemu Orang Diselia (ODS) pada Program Ceramah Motivasi Sebening Kasih Keinsafan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PENGETAHUAN agama yang diberikan kepada banduan secara berterusan sepanjang menjalani hukuman mampu memberi keinsafan seterusnya dapat menyekat golongan terbabit daripada mengulangi kesalahan sama.

Ketua Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Penjara Pahang Penguasa Penjara (PP) Mohd Huzaimi Hanafi berkata, pelbagai aktiviti agama diadakan di Penjara Penor, Penjara Bentong dan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 bagi menjamin banduan dapat kembali ke pangkal jalan.

Menurutnya, selain kelas agama dan membaca al-Quran yang disediakan bahagian agama penjara, turut diadakan ceramah agama oleh penceramah jemputan dalam usaha menyentuh hati golongan terbabit supaya insaf dan menyesal secara ikhlas dengan kesilapan.

“Kita yakin pendekatan agama sahaja dapat memberi keinsafan sebenar dari dalam hati mereka bukan insaf kerana menerima hukuman sebat dan penjara dalam tempuh masa yang panjang

“Terdapat banyak kes banduan selepas dibebaskan terbabit dengan aktiviti keagamaan selain bertugas sebagai bilal dan imam surau serta masjid,” katanya pada Program Ceramah Motivasi Sebening Kasih Keinsafan bersama Orang Diselia (ODS) di PRP Kem Batu 10, di sini, semalam.

Ceramah bertajuk ‘Masih Adakah Peluang Kedua Untuk Aku’ disampaikan penceramah bebas Ustaz Haslin Baharim atau terkenal dengan panggilan Ustaz Bollywood.

Turut hadir Komandan Pusat Reintegrasi Penghuni Kem Batu 10, Penolong Penguasa Penjara Mohd Rani Zakaria.

Mohd Huzaimi berkata, terdapat kes banduan terutama yang terbabit dengan penagihan dadah mengulangi perbuatan sama selepas dibebaskan, justeru dengan didikan agama yang diberikan diharap mereka tidak mengulangi episod hitam itu.

“Selain didikan agama kita juga tidak ketinggalan menyediakan pelbagai latihan kemahiran seperti jahitan, ukiran, kimpalan, tenun, ternakan ikan dan perladangan.

“Kemahiran yang dimiliki diharap dapat digunakan untuk mereka berdikari dengan cara bekerja selain membuka perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Haslin berkata, terlalu mengikut nafsu menyebabkan ramai golongan muda hari ini terbabit dengan perkara yang menyalahi undang-undang hingga menyebabkan mereka dipenjara.

“Saya berharap didikan agama yang diterima dalam penjara dapat memberi keinsafan seterusnya tidak mengulangi sejarah hitam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 4:19 PM
Kabinet Malaysia 2020