Amir menerima sumbangan di rumahnya Kampung Awek, Darau, Besut. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Amir menerima sumbangan di rumahnya Kampung Awek, Darau, Besut. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


“WALAUPUN terlantar tetapi Amir bersemangat untuk menyambung pelajaran kerana dia sangat meminati mata pelajaran ekonomi,” kata Mohd Nazir Abdul Latif, 52.

Mohd Nazir ialah bapa kepada Muhammad Amir Mohd Nazir, 20, yang juga calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut yang menerima Anugerah Khas atas pencapaiannya mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.25.

“Jika diikutkan, Amir mahu mengambil peperiksaan ulangan dengan mendaftar enam kertas akhir tahun lalu tetapi tidak kesampaian apabila terbabit kemalangan ketika mengambil adik pulang dari sekolah pada November lalu.

“Adiknya bersekolah di SMK Bukit Payong, ketika mereka menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, mereka bertembung dengan sebuah motosikal lain dan Amir tercampak di atas jalan.

“Amir ditahan di wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu lebih sebulan lebih kerana koma.

“Kini, dia hanya terlantar di rumah,” katanya ditemui di Kampung Awek, Darau di sini.

Menurut Mohd Nazir, Amir pelajar cemerlang dan anak tunggal lelaki dalam keluarga. Dia juga menjadi harapan keluarga untuk mengubah masa depan mereka.

“Amir sangat minat dengan mata pelajaran ekonomi dan kerana itu, dia memilih untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam di SMK Putra.

“Amir kini berinteraksi dengan cara menunjukkan huruf yang ditulis di atas sekeping kotak kerana dia masih belum mampu untuk memegang sebarang objek,” katanya.

Nazir berkata, Amir juga bergantung kepada susu untuk makanan yang disalurkan melalui hidung setiap empat jam.

“Saya juga tidak dapat bekerja kerana Amir memerlukan penjagaan dan pemantauan rapi,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Putra, Juwairiah Abdullah berkata, pihak sekolah menyusun beberapa rancangan untuk membantu Amir termasuk melakukan terapi cara kerja.

“Terapi itu termasuk latihan motor halus untuk membantunya meningkatkan fungsi tangan dalam melakukan aktiviti harian seperti berkomunikasi, makan dan urus diri.

“Ia juga membabitkan latihan kekuatan dan kawalan otot leher selain pernafasan,” katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 5:36 PM